KOTA MARUDU: Satu tragedi amukan berdarah berlaku di Kampung Puyuh Pitas malam tadi mengakibatkan seorang warga emas maut.
Mangsa dikenali sebagai Habibah Abungon, 68, mati akibat kecederaan parah diserang suspek dalam kejadian pukul 11.15 malam itu.
Amukan itu dikaitkan dengan kisah putus tunang seorang wanita yang menyebabkan ibunya mati ditetak oleh suspek berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu,
Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, suspek dikatakan datang ke rumah tunangnya untuk mengajaknya balik ke kampung di Paitan.
Bagaimanapun katanya, wanita terbabit tidak menuruti permintaannya dan menyatakan mahu memutuskan tali pertunangan.
“Akibat perkara itu, suspek dipercayai bertindak agresif dan mengamuk dengan menggunakan senjata parang.
“Antara yang cedera adalah tunang suspek sendiri bersama adik, kakak dan bapanya. Semua empat mangsa yang cedera berusia 24 hingga 65 tahun,” katanya.
Mohd Izaan berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, mayat mangsa yang maut terlentang di bahagian dapur dengan kesan darah di atas lantai.
Manakala katanya, semua mangsa yang terbabit pula sudah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ