KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disarankan untuk menguatkuasakan semula Ordinan Pentadbiran Luar Bandar (Sabah Bab 132) dengan membuat pindaan mengikut keperluan masa kini.
Perkara itu disuarakan pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Menurutnya, ordinan berkenaan menyentuh mengenai Kuasa dan Tugas Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung, Prosedur Undang-Undang dan Kuasa Kerajaan Pusat Di Kawasan Luar Bandar.
“Ordinan ini sudah lama dibuat pada 6 Disember 1951 tetapi saya berpendapat masih relevan dan boleh dipinda mengikut situasi dan keperluan hari ini,” katanya.
Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mencadangkan agar kerajaan negeri menetapkan satu nama urus tadbir peringkat kampung agar tidak perlu ditukar setiap kali kerajaan persekutuan menukar dasar mereka.
Katanya, dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, urus tabdir di peringkat kampung telah dijenamakan beberapa kali, bermula daripada Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan kini Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Saya mencadangkan supaya kita wartakan di Dewan ini badan urus tabdir peringkat kampung supaya tidak perlu lagi ditukar setiap kali Kerajaan Persekutuan menukar dasar mereka.
“Kita perlu konsisten di peringkat negeri Sabah dalam hal-hal sedemikian kerana perubahan nama kepada urustabdir kampung memberi banyak implikasi kepada para pentadbir di kampung,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ