PUTRAJAYA: Ucapan perayaan dibenarkan pada produk, sekiranya ia dibuat bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, tiada peruntukan yang menyentuh mengenai sambutan apa-apa perayaan termasuklah perayaan Islam di dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
“Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) hanya terpakai bagi pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Abdul Aziz merujuk kepada laporan sebuah portal bahawa sebuah kedai kek menolak permintaan seorang pelanggan, untuk menulis ucapan ‘Merry Christmas’ di atas sebiji kek yang dipesan untuk dihantar kepada rakannya, kerana kedai itu dalam proses untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim. – Bernama

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ