KOTA KINABALU: Mayat mangsa bot yang karam selepas dipukul ombak di perairan Kampung Kuala Abai, Kota Belud, ditemui terdampar di pantai berhampiran, hari ini.
Mayat Nojan Sitong, ditemui kira-kira jam 7 pagi oleh penduduk kampung yang turut sama melakukan pencarian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk bedah siasat.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, berikutan penemuan itu, operasi Carilamat ditamatkan pada jam 8.45 pagi, hari ini.
Katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi CARILAMAT pada jam 12 tengahari semalam.
“Ini berikutan maklumat yang diterima berkenaan bot gentian kaca yang dinaiki dua nelayan karam dipukul ombak di sekitar perairan berkenaan.
“Adik mangsa, Norzeli Sitong, 35, berjaya berenang ke kawasan pantai berdekatan sebelum membuat laporan mengenai kejadian yang menimpa mereka,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd Rosli berkata, Operasi Carilamat mangsa bot nelayan tempatan yang karam di Pulau Segama, Sandakan sejak 15 Januari lalu ditamatkan jam 6.30 petang semalam.
Katanya, pencarian mangsa sudah memasuki hari keempat namun masih belum menemui sebarang petunjuk positif.
“Walaubagaimanapun, aset yang beroperasi secara rutin harian akan melakukan pemantauan berterusan di lokasi kejadian.
“Keluasan sektor pencarian selama empat hari itu merangkumi keluasan 754 batu nautika persegi dengan pembabitan sembilan aset dari pelbagai agensi serta jabatan,” katanya. – Asia Times
Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam (JPM) serta semua yang terlibat sepanjang operasi CARILAMAT dijalankan.
Sehubungan itu, Mohd Rosli mengingatkan komuniti maritim terutamanya di perairan Sabah untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau bencana di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan di talian 088-387774 atau talian MERS 999,” katanya. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ