9 KILANG, 16 PREMIS DIARAH TUTUP, LANGGAR SOP DAN PEKERJA POSITIF COVID-19

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengarahkan sembilan kilang ditutup selepas pekerjanya dijangkiti Covid-19 dan gagal mematuhi SOP sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 2.0.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 16 premis bukan kilang turut diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP, termasuk kedai pakaian yang beroperasi walaupun dilarang.

“Kita serius dari segi memastikan tiada jangkitan di kilang, sama ada kita tutup terus atau tutup sementara sehingga kes selesai. Langkah itu diambil bagi menjamin sektor kilang tidak menyumbang kepada kenaikan kes,” katanya dalam sidang media.

“Kita tegas dengan kilang. Ada dua perkara kita tetapkan. Pertama, pekerja asing di kilang mereka wajib membuat saringan, kalau gagal kita akan ambil tindakan. Kedua, kalau berlaku kes positif di kilang mereka, kita akan tutup.”