Kontraktor bebas mengaku tidak bersalah halang tugas polis

Seorang lelaki yang bertindak agresif ketika pasukan keselamatan melakukan pemantauan COVID-19 di Pasar Semarak, Sabtu lepas dan videonya tular di media sosial, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Tawau hari ini atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis.

Dillie Rais Sidi, 37, didakwa menghalang tugas L/Kpl Emmie Awiera Azmi membuat pemeriksaan dokumen diri ke atasnya di kawasan Pasar Semarak, di sini, kira-kira pukul 8.20 pagi, 6 Feb lepas.

Dia yang merupakan kontraktor bebas dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu gagal mematuhi dan tidak mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh pegawai polis pada tarikh, lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Majistret Nur Asyraf Zolhani membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, serta menetapkan 9 Mac untuk sebutan semula bagi pertuduhan pertama dan 15 Mac bagi pertuduhan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran dan Pegawai Pendakwa ASP Dayang Nur Azarinawaty manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Achok.