Kuarters Hospital Tuaran terbakar

Enam pintu rumah kuarters kakitangan Hospital Tuaran, di sini, musnah dijilat api dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, blok kuarters separuh kekal berkeluasan 929 meter persegi itu musnah 100 peratus.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 pada jam 1.45 pagi.

Katanya, JBPM kemudiannya mengerahkan sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama dua jentera FRT, sebuah jentera EMRS serta sebuah Water Tanker berkapasiti 20,000 liter ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kebakaran menbabitkan sederet blok kuartes enam pintu separuh kekal yang musnah dijilat api.

“Operasi pemadaman oleh pihak bomba terpaksa menggunakan sumber air tertutup dan api berjaya dikawal sebelum dipadam sepenuhnya sejurus selepas itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir untuk memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetus bahaya kebakaran semula.

Katanya, kebakaran ini bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kematian atau kecederaan.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.57 pagi,” katanya. -Asia Times