Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan kesihatan percuma di Tenom Ahad ini

Dari kiri kelihatan Gideon Gadit Ketua Pemuda UPKO Tenom, Herekson Rubin Pengerusi Penganjur Kempen Derma Darah, Datuk Dr. Lucas Umbul Ketua Bahagian UPKO Tenom, dan Alix Sunggin selepas selesai mesyuarat akhir persediaan kempen selasa lalu.

TENOM: Pemuda UPKO Tenom dengan Kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah) dan Unit Tabung Darah Hospital Daerah Tenom akan mengadakan kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan secara percuma pada Ahad ini (14 April) bertempat di Tingkat Atas Pasar Besar Tenom bermula dari jam 8:00 pagi hingga jam 1:00 petang.

Presiden Pendarah Alix Sunggin berkata, pihak penganjur amat mengalu-alukan orang ramai terutama di sekitar Daerah Tenom agar meluangkan masa untuk menderma darah bagi menampung kekurangan darah di seluruh hospital kerajaan terutama di Tenom.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pemuda dan Bahagian UPKO Tenom dan Unit Tabung Darah Hospital Daerah Tenom kerana sudi bekerjasama dengan Pendarah menganjurkan kempen derma darah kali ini,” kata Alix.

Pihak penganjur juga telah menyediakan goodies berbentuk beras 5kg kepada 150 orang penderma terawal.