Seorang lelaki warga asing maut ditetak rakan serumahnya hanya kerana dikatakan sering membazir air dalam kejadian di sebuah ladang di Peringkat 4 Sukau, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Lito Salibat 30-an terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian perut akibat ditetak dengan sebilah parang.
Mangsa sempat dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati, punca pergaduhan berlaku disebabkan salah faham antara suspek dengan mangsa berkaitan penggunaan air di rumah.
Katanya, mangsa dikatakan sering membazir air walaupun kawasan perumahan pekerja ladang berkenaan kerap kali mengalami masalah bekalan air.
“Ketika kejadian, penduduk sekitar menyedari insiden berkenaan selepas mangsa dikatakan berlari keluar daripada rumah dalam keadaan berlumuran darah.
“Selain itu, saksi kejadian turut sempat melihat suspek melarikan diri keluar dari pintu belakang rumah, namun tidak ada sesiapa yang berani menahannya kerana suspek dilihat sedang memegang sebilah parang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dzulbaharin berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan dibantu Unit anjing pengesan K9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Richarles Edward ditalian 089-561890 atau 014-3217050 untuk membantu siasatan lanjut,” katanya. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad