955 liter minyak diesel dan lori kena sita

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menerima serahan kes rampasan minyak diesel daripada Pasukan Polis Marin (PPM), kemarin.

Semua rampasan membabitkan 955.81 liter minyak diesel yang dilakukan dalam serbuan 24 Mac lalu itu diserahkan untuk tindakan selanjutnya termasuk siasatan dan pendakwaan.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dikesan menggunakan sebuah lori untuk mengangkut minyak diesel berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki barang kawalan tanpa suatu kebenaran yang sah dari Pengawal Bekalan Malaysia dan menyimpan barang kawalan selain dari tempat yang dilesenkan.

“Semua barang kes sudah dialihkan dan disimpan di Stor Eksibit KPDNHEP Kota Kinabalu manakala saspek bagi kes ini ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut kes terbabit.

“Jika sabit kesalahan, syspen terbabit boleh dihukum mengikut Seskyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya dalam kenyataan media.

Georgie berkata, pesalah juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Manakala katanya, bagi pertubuhan pula, pemilik boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta.

Sementara itu, Georgie berkata, sejak 1 Januari hingga 28 Februari lalu, KPDNHEP Sabah sudah mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas 15 kes serahan dengan nilai rampasan berjumlah RM159,204.65.

Katanya, semua kes berkenaan diterima daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia terutamanya Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Kerjasama yang erat ini sudah banyak membantu dalam usaha kementerian membanteras percubaan penyelewengan barang kawalan seperti gas petroleum cecair, minyak masak bersubsidi, tepung gandum, gula, petrol RON95 dan diesel keluar ke negara jiran.

“KPDNHEP Sabah akan sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan agensi-agensi penguatkuasaan agar tindakan penguatkuasaan berterusan serta lebih efektif dilaksanakan terutamanya di kawasan-kawasan perairan dan sempadan negeri Sabah,” katanya. -Asia Times