Lepas genap sehari ambil vaksin, semuanya baik-baik saja: Madius

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkongsi tentang keadaannya selepas genap sehari menjalani suntikan vaksinasi Covid-19.

Menurut beliau, dos pertama vaksin telah diambil kelmarin di Hospital Berungis Tuaran.

“Saya telah menjalani suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Hospital Berungis Tuaran kelmarin.

“Hari ini kira sudah genap satu hari. Jangan risau. Semuanya baik-baik saja,” katanya dalam hantaran laman facebook rasmi beliau hari ini.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu turut berterima kasih kepada para doktor dan jururawat yang terlibat dalam memastikan suntikan vaksinasi ke atasnya berjalan lancar.

“Terima kasih juga kepada Pengarah Hospital Tuaran, Dr G. Mohan yang bersama-sama ketika sesi vaksinasi dijalankan.

“Semoga Covid-19 ini dapat diatasi segera dan kita kembali semula menjalani hidup normal,” katanya.