Aduan diabaikan pengurusan, bikin kecewa betul, kata penduduk satu pangsapuri di Lok Kawi

Ramai penghuni sebuah kawasan pangsapuri di Lok Kawi Papar kecewa dengan pihak pengurusan yang langsung tidak mempedulikan malah mengabaikan semua aduan yang dibuat penghuni sejak beberapa tahun lepas.

Pengerusi jawatankuasa penduduk pangsapuri berkenaan Sharif Ahmad berkata, banyak masalah yang amat membimbangkan penduduk tidak pernah diambil tindakan pihak pengurusan.

Katanya, biarpun perjumpaan dengan wakil pengurusan sudah dibuat, namun selepas itu orang yang bertanggungjawab tidak dapat dihubungi malah terus menghilangkan diri.

“Sebagai wakil penduduk, saya sudah banyak kali menulis surat membuat aduan berhubung banyak masalah yang berlaku di kawasan perumahan ini.

“Penghuni di sini terpaksa berdepan dengan bahaya disebabkan banyak jalan yang berlubang selain kawasan parkir kereta yang tidak teratur hingga berlaku kesesakan jalan.

“Cadangan sudah diajukan kepada pihak pengurusan supaya kawasan yang tidak sepatutnya diletak kenderaan diberikan notis ‘tiada parking’. Sekiranya selepas sebulan masih ada yang degil mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun jelasnya, cadangan berkenaan langsung tidak dipedulikan dan masih ramai yang meletak kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya sehingga sekarang.

Beliau berkata, seramai 18 pengawal keselamatan yang bertugas menjaga di kawasan itu, namun kebanyakannya tidak menjalankan tugas dengan betul. Malah pihaknya sering mendapati pengawal keselamatan hanya tidur dan bermain telefon.

Menurutnya, kawasan pagar juga banyak yang berlubang dan ramai yang menjadikan pagar berlubang sebagai laluan pintas untuk masuk ke kawasan pangsapuri.

Katanya, orang yang keluar masuk itu tidak diketahui sama ada penghuni sebenar atau orang luar. Keadaan itu juga amat membimbangkan penduduk kerana tiada pemantauan oleh pengawal keselamatan.

“Lagi satu baru-baru ini pihak pengurusan ada menyambung unit baharu dengan kapasiti penduduk sekitar 300 orang. Justeru, saya mendapati sekarang ini mereka cuba untuk membuat laluan pintas dengan memotong jalan di antara blok bangunan sedia ada.

“Mengikut perancangan asal, laluan untuk ke bangunan baharu sepatutnya di kawasan luar. Jika pihak pengurusan mahu membuat jalan pintas, ia akan mengakibatkan laluan di blok bangunan sedia ada bertambah sesak.

“Saya sudah halang mereka supaya jangan teruskan kerja-kerja pemotongan jalan dan saya minta mereka tunjukkan surat yang membuktikan projek jalan berkenaan termasuk dalam pelan projek perumahan ini,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, kepala paip untuk hos kemudahan pemadam api turut didapati banyak yang hilang dan situasi terbabit membahayakan penduduk sekiranya berlaku kes kebakaran.

Katanya, masalah itu juga antara yang diabaikan pihak pengurusan walaupun selepas beberapa kali dilaporkan penduduk.

Berikutan banyak isu dan masalah yang tidak diselesaikan pihak pengurusan, beliau mahu tindakan segera diambil terutama membabitkan kawasan parkir dan kesesakan laluan di kawasan itu ditangani secepat mungkin. – Utusan Borneo