Kebakaran di Kampung Sundang Laut Sandakan, 30 rumah hangus

Lebih 30 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sundang Laut Batu Sapi di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan Martin Thomas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada jam 7.55 pagi.

Beliau berkata, seramai 40 anggota bomba termasuk pegawai kanan yang diketuai olehnya bergegas ke lokasi kebakaran bersama empat jentera bomba dan empat kenderaan utiliti bomba.

Martin berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian sekitar 17 minit kemudian dan segera melakukan operasi pemadam kebakaran. 

Katanya,  semasa kebakaran berlaku, air laut dalam keadaan surut dan penduduk kampung dengan bantuan bomba melakukan kaedah merobohkan jambatan dan beberapa buah rumah bagi mengelak api merebak ke kawasan lain.

“Anggota bomba berjaya mengawal api dari merebak pada jam 9.17 pagi dan api padam sepenuh pada jam 10 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, tiada laporan berhubung kecederaan mahupun kehilangan nyawa dalam kejadian itu.

Pihaknya juga masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami penduduk.

Beliau berkata, penduduk kampung yang terlibat dalam kebakaran itu ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna PPR Batu Sapi. – Utusan Borneo