Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan individu yang ditahan di Kampung Muhibbah, Tawau, sebelum ini, dipukul oleh anggota polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, dakwaan berkenaan dipandang serius dan siasatan segera sudah dijalankan.
“Kita menafikan kejadian itu. Bagaimanapun, sekiranya kejadian ia benar-benar berlaku, sila buat laporan polis untuk siasatan.
“Mereka pun kena faham tugas kami. Polis menjaga keamanan dan menjaga keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazani berkata, berdasarkan siasatan, individu yang ditahan bukan penduduk Kampung Muhibbah sebaliknya datang dari kawasan luar.
Katanya, mereka difahamkan datang ke lokasi berkenaan bukan untuk menyampaikan bantuan sebaliknya hanya membuat demonstrasi.
“Semasa pemantauan dibuat, semua yang ditahan sedang berhimpun sambil memegang sepanduk yang mengandungi kata – kata provokasi dan membantah perlaksanaan PKP di daerah Tawau.
“Penganjur didapati gagal mengemukakan Notis Pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah dan diberikan arahan bersurai namun tidak diendahkan dan perhimpunan masih diteruskan,” katanya.
Hazani berkata, aktiviti perhimpunan berkenaan adalah aktiviti terlarang yang menyukarkan pelaksanaan penjarakan sosial dan pematuhan SOP seperti mana diwartakan kerajaan.
Sebelum ini, tujuh individu yang ditahan membabitkan perhimpunan protes terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Muhibbah dan kini ditahan reman selama dua hari.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ