Siapa yang tidak ikut SOP, kami akan ambil tindakan: Polis Beluran

Polis Beluran amat menitik beratkan kadar penularan COVID-19 di daerah ini memandangkan sebelum ini pernah diumumkan sebagai zon hijau namun kini telah di kategorikan semula sebagai zon kuning. 

Mengikut rekod yang di keluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sektor perladangan turut menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kasim Muda berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran telah menubuhkan pasukan pemantau bersama KKM bagi 3 zon iaitu Beluran, Telupid dan Paitan. 

“Pasukan pemantau telah diarahkan untuk menjalankan tugas sekatan jalan raya, Rondaan MPV dan juga memantau pematuhan SOP di kalangan masyarakat setempat dan juga sektor yang melibatkan syarikat perladangan,” katanya.

Beliau berkata tiada sebarang pergerakan rentas daerah dibenarkan mulai 10 Mei hingga 16 Mei 2021 seperti mana yang telah diumumkan.

“Penugasan ini dijalankan setiap hari bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat bagi mengekang penularan Covid-19. 

“Kawasan tumpuan Operasi ialah Nangoh, Pekan Botition dan Paitan. Bagaimanapun kawasan lain juga tidak terlepas dari pemantauan. Mereka yang ingkar untuk mematuhi SOP yang ditetapkan akan ditahan atau dikenakan kompaun tanpa kompromi,” katanya.

Kasim berkata semenjak kadar baharu kompaun di laksanakan sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan terhadap individu dan juga syarikat perladangan atas kesalahan tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan. 

“Pecahan kompaun yang dikeluarkan mengikut kategori kompaun iaitu 2 Individu, 5 premis dan 5 lagi syarikat perladangan.

“Diantara kesalahan yang dikenakan kompaun adalah tidak memakai pelitup muka di tempat awam, tidak menjaga penjarakan sosial dan tidak menyediakan atau menyelenggara buku daftar pelanggan dengan betul,” tegasnya. 

Kasim berkata pegawai pemantau akan bertindak tegas untuk menguatkuasakan SOP PKPB dan tidak mengira samada individu, premis perniagaan ataupun syarikat perladangan yang gagal mematuhi SOP akan dikenakan kompaun. 

“Dengan pendekatan yang tegas ini diharap dapat mendidik masyarakat agar lebih patuh dengan SOP,” katanya.

Menjelang sambutan hari raya ini, beliau berkata hanya ahli keluarga sahaja dan tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa, polis akan mengeluarkan kompaun dan tidak bertolak ansur jika didapati melanggar SOP yang di tetapkan. 

“Tiada sebarang aktiviti ziarah menziarahi melainkan ahli keluarga sahaja serta tidak dibenarkan mengadakan rumah terbuka,” katanya.

Kasim berkata pihak IPD Beluran meminta agar masyarakat Beluran mensyukuri sedikit kelonggaran yang diberikan berbanding dengan sambutan hari raya pada tahun lepas agar memberi kerjasama dengan mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan. 

“Bersama-sama kita menghadkan pergerakan yang perlu sahaja bagi membendung penularan COVID-19 yang sedang kita hadapi,” katanya. – Utusan Borneo