Media kena kasi benar beroperasi sepenuhnya di Sabah sepanjang PKP 3.0

Kerajaan negeri memberi kelulusan sepenuhnya kepada semua agensi media massa di Sabah untuk beroperasi dari semasa ke semasa mengikut keperluan masing-masing.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataannya berkata, kebenaran itu berkuat kuasa sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, peranan media massa penting dalam membantu kerajaan menyampai serta menyebarluaskan maklumat sahih dan terkini kepada rakyat jelata. 

Bagaimanapun jelasnya, kelulusan berkenaan diberikan dengan mewajibkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan juga Datuk Seri Masidi kerana bertindak segera atas rayuan SJA supaya petugas media diberi kelonggaran waktu bekerja sepanjang PKP 3.0.

Katanya, pembatalan arahan yang menetapkan petugas media bekerja bermula jam 7 pagi hingga 7 malam adalah satu langkah yang tepat untuk media.

Pihaknya sebelum ini memohon rayuan kepada kerajaan negeri supaya petugas media diberi kelonggaran waktu bekerja tanpa mengikut tempoh masa yang ditetapkan. – Utusan Borneo