Bot terbalik, seorang nelayan maut di Menumbok

 Seorang nelayan berusia 55 tahun ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut dalam kejadian di Kampung Batu Linting, Menumbok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikatakan pergi ke laut bersama sepupunya untuk mengangkat pukat yang dipasang.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, bot yang dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba terbalik dipercayai dipukul ombak sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa terhumban ke dalam air.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa dan sepupunya cuba berenang ke tepi pantai untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun katanya, mangsa gagal menyelamatkan diri manakala sepupunya pula berjaya diselamatkan orang kampung yang menyedari kejadian itu.

“Pasukan paramedik yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Kuala Penyu.

“Mayat mangsa yang dikenali sebagai Lee Yong Sit @ Heron Liukun akan melalui proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – Asia Times