5,738 kes Covid-19 ini hari, 60 mati dan 909 sedang di ICU

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 5,738 kes baharu Covid-19 dengan 60 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 66,097 kes aktif dan 909 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 441 memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, jumlah jangkitan kini adalah 678,764 manakala kes sembuh pula sebanyak 7,530 dengan jumlah kumulatif 608,465 kes.

Sementara itu, sebanyak 60 kematian dicatat menjadikan jumlah keseluruhan kematian setakat ini 4,202.

Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dengan 1,858 kes.

Ia disusuli Negeri Sembilan (1,086), Kuala Lumpur (641), Sarawak (559), Johor (449), Sabah (248), Kedah (197), Melaka (184), Kelantan (154), Pulau Pinang (97), Labuan (97), Terengganu (77), Pahang (54), Perak (30) dan Putrajaya (7).

Daripada jumlah kes baharu itu, tiga adalah kes import manakala 5,735 penularan tempatan.