Hampir 100,000 wanita mengandung minta kena vaksin

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menerima 98,196 permohonan daripada wanita mengandung untuk divaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, janji temu bakal ibu itu sedang diproses mengikut negeri.

“Pada hujung minggu lepas, kita berikan 3,000 janji temu di Kuala Lumpur dan 224 di Perlis untuk hujung minggu ini.

“Selebihnya di negeri lain sedang diproses dan akan diberikan janji temu pada minggu akan datang,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Beliau berkata, CITF turut meluluskan 5,621 permohonan vaksin untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian di luar negara.

Katanya, pelajar yang belum mengemukakan permohonan mendapatkan vaksin boleh berbuat demikian sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kadar vaksinasi perlu bergantung pada bekalan daripada pengeluar.

Beliau memberi contoh Hungary mendapat vaksin yang banyak kerana negara mereka sebahagian daripada Kesatuan Eropah yang berunding dengan pembekal vaksin untuk membelinya secara pukal.

“Dan juga antara kilang yang keluarkan vaksin berada di Eropah. Jadi, mereka telah membolot vaksin lebih awal lagi.”

Katanya, negara lain di Asia seperti Jepun turut ketinggalan dari segi mendapatkan bekalan vaksin.