Rakyat berterima kasih atas keprihatinan Ahli Parlimen Tuaran

Keprihatinan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau terus mendapat pujian daripada rakyat tempatan.

Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau masih berusaha membantu rakyat yang terjejas walau dalam keadaan tempoh pergerakan yang dihadkan.

Umum mengetahui, sebagai wakil rakyat pembangkang, dana adalah cukup terhad kerana wakil rakyat cuma menggunakan peruntukan sendiri.

Namun perkara itu tidak mematahkan semangat Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Pada Khamis lalu, beliau telah menyampaikan bantuan beras di Kampung Mengkabong. 13 kampit disampaikan kepada 13 pekerja kilang QL Marine yang telah ditutup sementara bagi mengekang penularan Covid -19.

Manakala 9 kampit lagi untuk penduduk Kampung Gerinsing yang terjejas. Sebanyak 20 kampit beras disumbangkan kepada belia Masjid Nur Falah Mengkabong. 10 Kampit beras kepada kampung Jembulang dan 20 kampit lagi kepada Kampung Pensurun Besar.

Kesemua sumbangan akan diagihkan kemudian oleh wakil penerima kepada penduduk terjejas di kawasan masing-masing.

Bagi pihak belia Masjid Nur Falah, Fiezan Rosman mengucapkan penghargaan atas sumbangan dan keprihatinan Madius.

Wakil penerima bagi Kampung Jembulang, Utoh Dilin turut senada dengan Fiezan dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang disampaikan kepada penduduk di kampungnya.

Demikian juga, Lamat Majid dari kampung Pensurun Besar yang menyifatkan bantuan itu sebagai langkah terpuji dan tanda keprihatinan terhadap rakyat yang sedang dalam kesusahan.

Bagi Madius sendiri, beliau berazam untuk kekal membantu yang terdaya tanpa mengira masa, namun menasihatkan semua pihak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.