DAP mempersoalkan Putrajaya berhubung kenyataan bercanggah mengenai vaksin Sinovac setelah Menteri Kesihatan berkata, ia tidak lagi akan digunakan setelah mereka yang menunggu dos kedua menerimanya.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga mempersoalkan kerajaan mengenai surat rasmi yang didakwa ditandatangani Pengarah Kesihatan Kelantan Zaini Hussin yang menyatakan bahawa negeri itu akan menggantikan vaksin Sinovac dengan Pfizer-BioNTech di semua pusat pemberian vaksin (PPV).
Katanya, pengumuman dan kenyataan sebegini mempengaruhi keyakinan rakyat, bukan hanya terhadap vaksin Sinovac, malah keseluruhan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Apakah ini bererti semua kerajaan negeri sekarang diberi autonomi dan pilihan untuk memilih vaksin yang akan mereka berikan?
“Sekiranya pilihan seperti itu diberikan, adakah ia juga akan diperluas ke negeri-negeri lain atau hanya satu negeri diberi layanan istimewa berbanding negeri-negeri lain?” soalnya dalam kenyataan.
Pada 15 Julai, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, Malaysia akan berhenti memberikan vaksin Sinovac setelah bekalannya habis kerana bekalan vaksin lain cukup untuk PICK.
Pengumuman ini dibuat di tengah-tengah kebimbangan mengenai keberkesanannya terhadap varian Covid-19 baharu yang lebih mudah menular.
Thailand minggu ini berkata, ia akan menggunakan vaksin AstraZeneca dalam dos kedua bagi mereka yang menerima Sinovac dalam dos pertama, sementara Indonesia sedang mempertimbangkan untuk memberi dos penggalak kepada individu yang telah menerima dua dos lengkap Sinovac.
Kata Lim, perlu ada komunikasi jelas mengenai hala tuju dasar supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat, termasuk mereka yang telah menerima vaksin Sinovac.
“Semua menteri Perikatan Nasional, terutamanya Dr Adham Baba dengan reputasinya membuat pernyataan tidak masuk akal di peringkat antarabangsa, tidak sahaja perlu menyelesaikan kekeliruan dan keraguan yang timbul, tetapi juga harus berhati-hati ketika mengumumkan hala tuju baharu dasar tanpa penjelasan yang tepat,” katanya.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad