Penantian khabar dua beranak yang hilang ketika keluar memancing di Sungai Karang, di sini, sejak Jumaat lalu, berakhir duka apabila mereka ditemui lemas, semalam.
Mangsa yang hilang, Jobik Mokim, 47, dan anak lelakinya Nick Hezron, 18, ditemui orang awam terdampar di kawasan pesisir pantai berhampiran pusat peranginan Tampakan, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, kedua-dua mangsa hanya disedari hilang selepas bot mereka ditemui tersadai di Pantai Kampung Lok Dangkaan, Pitas, Sabtu lalu.
Katanya, keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“JBPM memulakan operasi pada jam 7.51 pagi semalam di sekitar kawasan pesisir pantai dan kawasan bakau berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Bagaimanapun, JBPM menerima makluman penemuan mayat di pesisir Pantai berhampiran sebuah pusat peranginan dan terus bergerak ke lokasi dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Affendy berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa pertama yang dipercayai Jobik, terus diangkat menggunakan bot JBPM.
Katanya, beberapa minit selepas itu, pasukan bomba menemui seorang mangsa iaitu Nick Hezron dan terus dinaikan ke bot pasukan polis dengan dibantu pihak bomba dan Maritim Malaysia.
“Kedua-dua mangsa terus dihantar ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada jam 1.55 petang dan pasukan bomba terus bergerak balik ke Balai Bomba dan Penyelamat Kudat yang terletak 10 kilometer dari lokasi penemuan kedua-dua mangsa,” katanya. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad