Langgar kawat duri PKPD di Teluk Likas, sebuah Alza putih kini diburu polis

Polis memburu sebuah kereta Perodua Alza putih selepas dirakam merempuh sekatan jalan raya (SJR) Pos Kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Teluk Likas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.33 pagi itu, kereta berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah berhampiran bertindak meninggalkan lokasi ketika cuba diperiksa pasukan SJR.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal, ketika anggota bertugas cuba melakukan pemeriksaan, pemandu kenderaan itu terus mengundurkan kereta.

Katanya, kenderaan berkenaan terus melanggar sebuah Perodua Myvi yang kebetulan berada di belakangnya.

“Kereta itu kemudiannya terus melanggar penghadang jalan dan kawat berduri sebelum memecut masuk ke Jalan Kuala Laut.

“Operasi mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan dan setakat ini kenderaan berkenaan masih gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata,siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana boleh menyebabkan kematian.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kenderaan atau individu terbabit supaya tampil menyalurkan maklumat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Zulfairie Ismail ditalian 0132-2618487 atau 088-529222. – Asia Times