Hari terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Rakyat yang dijadual pada Isnin ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak, kata Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.
Dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata Pejabat Speaker telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung perkara berkenaan.
“Pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” menurut surat berkenaan.
Katanya, penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.
“Yang mana, Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan wabak,” katanya.
Terdahulu, persidangan Khas Dewan Rakyat pada 29 Julai lalu ditangguhkan hingga 2 Ogos susulan dimaklumkan terdapat empat kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen.
Penangguhan itu dibuat pada hari terakhir Dewan Rakyat bersidang secara khas selain Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan tekanan untuk membentang dan membahaskan status pembatalan Ordinan Darurat.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad