Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Abdul Rahman Dahlan meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa serta-merta.
Beliau adalah pemimpin Umno terbaharu yang berundur daripada jawatan lantikan kerajaan.
Rahman berkata, peletakan jawatan itu selaras keputusan MKT Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bekas menteri pengajian tinggi, Noraini Ahmad kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai pengerusi ahli Lembaga Pengarah UMS,” katanya dalam kenyataan.
Noraini meletak jawatan semalam atas alasan sama, selepas Shamsul Anuar Nasarah berundur daripada jawatan menteri tenaga dan sumber asli Selasa lalu, setelah mengambil kira keputusan dan pendirian Umno.
Rahman yang juga bekas menteri persekutuan, dilantik ke Lembaga Pengarah UMS pada Februari lalu.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong