Mayat terapung sana kawasan paya bakau kena jumpa di Labuan

Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kawasan paya bakau, SK 33, Kampung Sungai Keling, di Wilayah Persekutuan Labuan, semalam.

Mayat berkenaan ditemui orang awam kira-kira jam 2.30 petang sebelum melaporkan kepada polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, mayat berkenaan ditemui terapung dalam keadaan sudah mereput dan dipercayai seorang lelaki berdasarkan rupa fizikal.

“Setakat ini, pihak polis mengklasifikasi kes sebagai laporan kes kematian mengejut (SDR) sehinggalah laporan bedah siasat diperolehi.

“Mayat mangsa kini berada di Unit Forensik Hospital Labuan untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jawila berkata, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan mana-mana orang atau ahli keluarga.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminya segera tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis yang berdekatan. – Asia Times