Mayor DBKK kecewa, pengunjung buang sampah merata di taman awam

 Taman-taman awam adalah kawasan tumpuan serta beriadah warga bandaraya Kota Kinabalu dan perlu dijaga bersama.

Namun sikap segelintir pengunjung yang suka membuang sampah di merata-rata tempat walaupun tong sampah sudah disediakan di kawasan berkenaan amat mengecewakan.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Noorliza Awang Alip berkata, sikap yang tidak bertanggungjawab ini mencacatkan pemandangan dan keindahan taman-taman awam di bandaraya Kota Kinabalu.

“DBKK percaya sikap pembuangan sampah di merata-rata tempat ini dilakukan oleh orang awam yang singgah berehat terutamanya pada waktu tengah malam.

“Selain itu, tong sampah yang disediakan di taman-taman awam ini juga kerap diselongkar oleh anjing-anjing liar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di laman sosial, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan dilakukan secara rutin oleh pekerja lapangan Jabatan Landskap, DBKK untuk membersihkan kawasan berkenaan setiap hari.

Katanya, ia akan dilakukan pada waktu awal pagi sebelum kehadiran pengunjung lain bagi memastikan keselesaan mereka semasa melakukan aktiviti riadah dan rekreasi tidak terganggu.

“DBKK akan mengenalpasti individu yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk kompaun sehingga RM500 mengikut Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap DBKK 1984 Pindaan 2005 atau didakwa di Mahkamah.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara dua tahun atau menjalani hukuman khidmat masyarakat selama empat jam sehari dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan,” katanya.

Noorliza berkata, para pengunjung diingatkan untuk terus peka dan prihatin akan kebersihan kawasan-kawasan awam khususnya taman-taman awam yang menjadi tumpuan orang ramai.

“DBKK juga memohon para pengunjung supaya bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan kemudahan awam yang disediakan di kawasan berkenaan,” katanya. – Asia Times