Seorang lelaki tempatan ditemui maut dipercayai jatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Jalan Kuhara, di Tawau, pagi tadi.
Mangsa berusia 38 tahun ditemui oleh pengawal keselamatan bangunan berkenaan pada jam 6 pagi tadi dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian dan berlaku pendarahan pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata lelaki berkenaan dipercayai menggunakan laluan kenderaan untuk naik ke tingkat lima bangunan dengan membawa sebuah beg, sekitar jam 3 pagi.
“Suspek dipercayai jatuh dari tingkat sama pada kira-kira jam 3.25 pagi sebelum mayatnya ditemui pengawal keselamatan, hampir tiga jam kemudian.
“Bagaimanapun, pergerakan mangsa jatuh dari bangunan itu tidak dapat dikesan kerana sistem kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) tiada diletakkan di kawasan tersebut.
“Turut ditemui beg berisi pakaian dan telefon bimbit dipercayai barangan peribadi mangsa,”katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurut Peter, mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk menjalani prosedur operasi standard COVID-19 sebelum bedah siasat dilakukan.
“Polis masih menyiasat punca mangsa berbuat demikian dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya. – Utusan Borneo

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ