Pakatan Harapan mengambil pendirian bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Dato’ Sri Utama Dr Ali Rustam, telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah dari seorang Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.
Menurut kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan, apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap beliau pada Isnin lalu, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri tersebut telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati TYT.
“TYT sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.
“Malangnya tindakan TYT ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (YB Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah ianya juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN.”
Kenyataan bersama itu dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengadakan mesyuarat membincangkan keadaan politik semasa di Melaka, termasuk pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Hj Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Majlis Presiden turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka ini telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat pada Ketika pandemik COVID-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad