Didakwa terima rasuah, dua anggota polis dihadapkan ke mahkamah

Dua lagi anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menerima rasuah dalam beberapa siri bermula Mei 2017 sehingga Mei 2018.

Kedua-dua mereka masing-masing Sabestino Bong, 42 berpangkat Koperal dan Lans Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, 32 bagaimanapun tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan terhadap Sebastian, tertuduh menerima suapan keseluruhan sebanyak RM300 dalam dua transaksi pemindahan ke dalam akaun peribadinya masing-masing pada 6 Jun, menurut Utusan Borneo.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dan deposit RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 29 November depan.

Tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah dan diarahkan untuk melapor setiap dua bulan di Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.

Sementara itu Haikal berdepan sembilan pertuduhan selepas menerima suapan keseluruhan sebanyak RM1,570 pada 23 Mei, 5 dan 7 Julai, , 2 dan 17 Disember 2017, 8 dan 13 April, 22 Mei dan 6 Julai 2018.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan deposit RM4,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes pada 29 November depan.

Sebelum ini seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan empat anggota lain-lain pangkat, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan ketika dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 15 Oktober lalu.

Kelima-lima tertuduh yang didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM8,020 dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat itu berhadapan tindakan ditahan kerja berikutan pendakwaan berkenaan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad, memaklumkan JIPS Sabah akan membuka kertas siasatan berhubung kes ini bagi melihat dari sudut pelanggaran tatatertib dan salah laku.

Katanya secara kebiasaannya pertuduhan di mahkamah akan disusuli dengan tindakan awal untuk ditahan kerja.