Ewon bergambar bersama sebahagian daripada pengerusi-pengerusi MPKK DUN Labuk yang menerima watikah pelantikan pada majlis itu.
TELUPID: 26 April – Semua anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini disaran menjalinkan kerjasama dengan semua pihak terutamanya jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan kemajuan dan kesejahteraan kampung.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana anggota MPKK adalah duta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membantu membangunkan komuniti dan kawasan luar bandar.
“Saya maklum perlantikan anggota MPKK di seluruh Sabah hampir semuanya muka-muka baru. Oleh itu, saya berharap para Pengerusi MPKK, setiausaha dan 11 Biro yang dilantik dibawah majlis itu dapat memantapkan kerjasama dan menjalankan amanah yang diberikan secara berpasukan dan penuh tanggungjawab.
“Terdapat 11 biro di dalam MPKK iaitu Biro Pembangunan Prasarana; Biro Keselamatan dan Kesihatan; Biro Pengurusan Kewangan; Biro Ekonomi dan Keusahawanan; Biro Kesejahteraan dan Keceriaan; Biro Pendidikan dan Inovasi; Biro Pemantapan Spiritual; Biro Kebajikan dan Kesukarelawan; Biro Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO); Biro Infostruktur dan Komunikasi dan Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPKK kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk melibatkan daerah Telupid dan Beluran, di Dewan Institut Perhutanan Sabah (IPS) Telupid, pada Jumaat (hari ini).
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut menyeru pengerusi-pengerusi MPKK supaya mengadakan kunjungan ke pejabat-pejabat kerajaan untuk menjalinkan kerjasama termasuk pejabat daerah dan pejabat KPLB Persekutuan berkenaan permohonan geran MPKK tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi aktiviti keceriaan dan kesejahteraan kampung.
“Bagaimanapun, tidak semua MPKK akan mendapat geran ini kerana keterbatasan peruntukan untuk tujuan tersebut sepertimana diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, iaitu RM100 juta bagi seluruh Malaysia, berbanding dengan jumlah MPKK seluruh Malaysia ketika ini sebanyak 16,481 buah MPKK. Hanya 10,000 MPKK dijangka mendapat manfaat daripada geran tersebut.
“Di Sabah pula, terdapat sebanyak 2,853 buah MPKK di seluruh negeri. Jadi, saya berharap Pengerusi serta anggota-anggota MPKK di seluruh Sabah dapat bekerjasama sebaiknya merebut geran tersebut berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditentukan oleh KPLB Persekutuan.
“Ia juga berasaskan kepada ‘first come, first serve’. Justeru, saya berharap ini adalah antara keutamaan yang harus diambil tindakan oleh MPKK di Labuk ini,” katanya.
Ewon turut menyeru agar Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dapat menyelaraskan taklimat keselamatan MPKK dan Ketua-Ketua Kampung bersama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah bagi memperkasakan kerjasama dalam aspek keselamatan dan pencegahan jenayah di kampung masing-masing.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Telupid Benedict Asmat, Pegawai Daerah Beluran Nordin Daling, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Labuk Abdul Talip Yahya dan mantan ADUN Labuk Datuk Tan Yong Gee.

Ewon menyampaikan watikah pelantikan MPKK kepada salah seorang penerima.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ