Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah berjaya ditahan dalam satu serbuan di Kampung Kijang Merotai, di Tawau minggu lalu.
Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis selepas menerima laporan mengenai aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan bangunan Merotai Point.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya telah menerima maklumat awam mengenai sendiket pengedaran dadah di kawasan tersebut.
“Sebaik operasi dijalankan, pasukan polis mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang berlegar-legar di lokasi berkenaan.
“Suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan, namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan,” katanya menurut seperti yang dilaporkan Utusan Borneo.
Katanya, suspek yang berumur 41 tahun tersebut mengalami luka kecil di bahagian kepala akibat pergelutan dengan pasukan serbuan.
“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan berjaya menemukan satu paket palstik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 55.40 gram di dalam seluar suspek.
“Suspek juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.
Peter berkata, suspek dan syabu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes tersebut disiasat mengiut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta sama,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ