Terbabas rempuh konkrit, 2 maut dalam kemalangan di Kinabatangan

Dua maut manakala tiga lagi parah selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh konkrit di tepi jalan di Jalan Kampung Segaliud Seberang, Kinabatangan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, dua mangsa yang meninggal dunia berusia 40 dan 14 tahun manakala tiga yang parah berusia lingkungan 15 hingga 33 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.02 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, semua mangsa masih berada di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.

“Dua mangsa perempuan kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala tiga mangsa lelaki mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar Ke Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat pada 9.22 pagi,” katanya.