115 pain darah dikumpul di Inanam

Sebahagian daripada ahli-ahli KRT Kawasan Inanam bergambar kenangan selepas selesai kempen

KOTA KINABALU: 23 April – Sebanyak 115 pain darah berjaya dikumpulkan dalam tempoh lima jam sepanjang Kempen Derma Darah anjuran tujuh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Tugu Peringatan Inanam.

Antara KRT yang terbabit dalam menjayakan program berkenaan adalah Pekan Inanam, Kampung Bambangan, Kampung Pagasaan, Kampung Kobuni, Kampung Nountun, Kampung Pomotodon dan Kampung Minintod.

Kempen berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dua dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Bahagian Sepanggar.

Pengerusi penganjur Datuk Wong Thien Fook berkata tujuan utama kempen berkenaan diadakan adalah bagi membantu mengisi kekurangan bekalan darah di Jabatan Transfusi HQE Dua.

Katanya kempen berkenaan amat berjaya berikutan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat sekitar yang tidak putusputus datang untuk menderma darah.

“Hari ini, kita menerima kehadiran penderma seramai 175 orang namun hanya 115 orang saja yang dibenarkan untuk menderma darah.

“Kempen ini akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana kita sedar setiap sumbangan darah itu dapatmenyelamatkanbanyak nyawa yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Wong berterima kasih kepada semua pihak terutamanya jawatankuasa KRT yang memberi sokongan penuh bagi menjayakan program mulia itu.

Sementara itu, Presiden Pendarah Alix Sunggin berkata ia adalah kali ketiga Pendarah bekerjasama dengan KRT Kawasan Inanam menganjurkan Kempen Derma Darah.

“Kami merancang akan mengadakan satu lagi kempen derma darah pada bulan September nanti berikutan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.

Pada program berkenaan, kesemua 115 penderma darah telah menerima beras dan beberapa bahan makanan hasil sumbangan orang ramai.



SEBAHAGIAN para penderma darah yang hadir.