Majlis AKU Manifestasi UMS Hargai Sumbangan dan Kecemerlangan Kakitangan

Penganjuran Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan manifestasi dan komitmen pihak pengurusan universiti dalam menghargai sumbangan dan kecemerlangan kakitangan termasuk para pesara.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, Anugerah Kecemerlangan UMS (AKU) turut menghargai usaha jabatan dan individu dalam kecemerlangan memacu inovasi universiti melalui pengurniaan anugerah daripada pelbagai kategori iaitu Anugerah Tokoh Kepimpinan – Tokoh Pengajar, Anugerah Kumpulan Penggerak Inovasi, Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik, Anugerah Penjanaan Pendapatan, Anugerah Pengurusan Makmal Terbaik, Anugerah Pengurusan Organisasi Terbaik  dan Anugerah Kreativiti EcoCampus.

“Pihak pengurusan UMS amat berbesar hati untuk memberi penghargaan Anugerah Jasamu Dikenang kepada warga UMS yang setia menabur bakti serta terlibat sama dalam penubuhan awal UMS dan berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan, termasuk dua kakitangan yang meninggal dunia dalam perkhidmatan.

“Anugerah Sanjungan Budi juga diberikan sebagai penghargaan kepada 73 kakitangan terlibat yang telah berkhidmat di UMS selama lebih 25 tahun, selain 60 kakitangan menerima Anugerah Jasa Setia di atas sumbangan bakti kepada UMS selama 20 tahun, serta Anugerah Jasa Bakti kepada 207 kakitangan yang telah berkhidmat selama 10 tahun.

“Pihak UMS sedar akan sumbangan dan jasa bakti mereka dan walaupun kita menghadapi kekangan semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara, penghargaan kepada mereka ini tetap kita laksanakan secara format norma baharu dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian majlis tersebut di Dewan Bankuasi, Bangunan Dewan Canselor UMS baru-baru ini.

Bagi menghargai kecemerlangan kakitangan yang menunjukkan prestasi yang baik sepanjang perkhidmatan tahun 2020, sejumlah 153 kakitangan merangkumi pelbagai skim jawatan di peringkat kakitangan sokongan dan pengurusan termasuk kakitangan akademik dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), yang membolehkan mereka menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan insentif kecemerlangan prestasi sebanyak RM1,000.

“Saya mengharapkan dengan penganugerahan dan pengiktirafan yang diterima ini dapat menyuntik semangat para kakitangan untuk terus berkhidmat dengan lebih dedikasi dan penuh iltizam,” katanya.

Taufiq turut memaklumkan majlis pada tahun ini turut mewujudkan Anugerah Khas Pengurusan COVID-19 sebagai menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus lumus dalam memastikan pengurusan Covid-19 sama ada melibatkan operasi universiti, penjanaan, inovasi, pengurusan pelajar sehinggalah semasa pemberian vaksin dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Adalah menjadi harapan saya agar seluruh warga universiti menunjukkan budaya kerja yang berprestasi tinggi, berintegriti dan bersemangat dalam melaksanakan tugasan seharian.

“Dengan iltizam serta semangat kerja yang positif, saya yakin hala tuju dan matlamat universiti berlandaskan visi dan misi akan terus menongkah kejayaan demi kejayaan bukan hanya diperingkat kebangsaan tetapi unggul di mata dunia,” ujar Taufiq.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; menjalankan fungsi Bendahari UMS, Zallifah Shadan; dan Ketua Pustakawan UMS, Tuan Haji Zawawi Tiyunin.