Kalau diorang bergabung, Pembangkang boleh menang PRN Johor, kata penganalisis

Pembangkang boleh memenangi pilihan raya negeri (PRN) Johor jika mereka berganding bahu menumbangkan Barisan Nasional (BN), kata penganalisis dan pemikir.

Manakala itu, seorang ahli akademik mengaitkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN baru-baru ini dengan perpecahan dalam kalangan parti komponen gabungan itu.

Felo kanan penyelidikan strategik Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, satu-satunya sebab mengapa BN dan Umno masih kuat adalah kerana “PH lemah”.

“Tetapi jika PH, MUDA, Pejuang dan Warisan bersatu, keupayaan mereka tidak boleh dipandang rendah,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, dengan bergabung tenaga, pembangkang mempunyai jentera lebih besar dan dapat mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru yang merugikan mereka seperti di Melaka dan Sarawak.

Menurutnya, situasi di Johor agak berbeza, tidak seperti PRN Melaka pada November yang menyaksikan jentera Amanah “bersendirian” manakala DAP serta PKR tidak bekerjasama.

Katanya, jentera komponen PH di Johor lebih rapat dan berkemungkinan akan bekerjasama.

“Jika parti kecil bergabung dengan PH, BN mungkin sukar mendapat majoriti,” katanya.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar, yang juga badan pemikir isu politik dan dasar berkata, PH dan Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana mereka kini “lebih lemah daripada BN”.

Menurutnya, ketika PRU14 PH bertanding menggunakan satu logo dan berkempen mengenai isu-isu rakyat seperti kos sara hidup dan rasuah.

Katanya lagi, Umno mempunyai kelebihan di Johor kerana ia adalah tempat kelahiran parti terbesar Melayu itu tetapi kehilangan negeri berkenaan kepada PH pada PRU14.

Beliau berkata, kehadiran parti pembangkang lain selain PH seperti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan parti dari Sabah, Warisan yang baru-baru ini melebarkan sayap ke Semenanjung akan menyebabkan undi pecah.

“Pengundi bandar akan berpecah antara PH dan parti pembangkang yang lebih kecil ini,” katanya.

Katanya, Pejuang, yang mengatakan akan bertanding di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mungkin bertanding kerusi sama yang diintai oleh Umno dan Bersatu, sekali gus menyaksikan pertembungan banyak penjuru antara pembangkang dan BN.