SINGAPURA, 29 Mac – Rayuan seorang kurang upaya (OKU) warganegara Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura berhubung hukuman mati yang diberinya.
Mahkamah membacakan keputusannya hari ini selepas mengekalkan penghakiman perbicaraan Nagaentran yang diadakan pada 1 Mac.
Peguam, M Ravi menerusi hantaran di Facebooknya, memaklumkan bahawa mahkamah menganggap rayuan itu sebagai menyalahi proses dan undang-undang antarabangsa tidak terpakai.
“Nagaenthran yang kecacatan mental mungkin dihukum gantung dalam beberapa hari akan datang,” katanya.
Selain rayuan itu, peguamnya juga meminta mahkamah supaya menggunakan kuasanya untuk meminta Nagaenthran dinilai oleh pakar psikiatri.
Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan panel lima hakim terdiri Ketua Hakim Negara, Sundaresh Menon bersama Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.
Pada 6 November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengutuskan surat kepada rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi meringankan hukuman terhadap Nagaenthran serta menangguhkan hukuman itu dan mengemukakan permohonan baharu Pengampunan Presiden Singapura.
Ini diikuti kiriman surat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan pengampunan.
Namun, Presiden Singapura, Halimah Yacob memberitahu bahawa Nagaenthran telah melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
Selain itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata, proses rayuan melalui mahkamah sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020 lalu dan hukuman mati itu kekal dan dilaksanakan di Kompleks Penjara Changi, Singapura.
Nagaenthran yang berasal dari Perak dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2010 selepas disabitkan kesalahan mengedar 42.72 gram dadah jenis heroin pada 2009 di Singapura, di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, yang memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram.
Namun sejak dijatuhkan hukuman mati, kes Nagaenthran mendapat perhatian meluas di seluruh dunia.
Malah, Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (ADPAN) berpendapat tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah kerana memiliki IQ serendah 69 serta menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian, sekaligus dianggap sebagai OKU.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK