Isu pemberian khas 40% hasil Sabah perlu diselesaikan secara perundangan

Nelson W Angang

Oleh: Cyn J

KOTA KINABALU, 4 April – Isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah perlu dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan secara perundangan.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Nelson W Angang, Kerajaan Negeri perlu bersedia membawa isu tersebut untuk diputuskan dalam Mahkamah berdasarkan perundangan Negara.

“Isu pemberian khas 40 peratus hasil sabah perlu diputuskan dan diadili mahkamah sekiranya rundingan antara kerajaan Persekutuan dan negeri tidak memberi keadilan sepatutnya kepada Sabah dan tidak menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jika benar kerajaan Sabah tidak berundur menuntut hak Pemberian Khas kepada Sabah berdasarkan formula 40 peratus, maka para pemimpin negeri mesti tegas meminta agar kerajaan Persekutuan telus mendedahkan jumlah sebenar hasil perolehan yang telah dikutip dari Sabah setiap tahun.

“Tanpanya, Sabah akan sentiasa ‘tempang’ di atas meja rundingan kerana tidak dapat mengetahui nilai sebenar 40 peratus kelayakan kita.

“Sekiranya kerajaan Persekutuan masih bertegas tidak mahu berunding membayar atau menambah bayaran kepada Sabah sejak 1974 berdasarkan formula 40 peratus, maka kerajaan negeri perlu mengambil tindakan serius membawa perkara ini ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, Nelson menegaskan, sebarang tafsiran dan pendirian kerajaan Persekutuan bahawa formula 40 peratus tidak lagi terpakai haruslah dicabar dari segi perundangan kerana tafsiran tersebut perlu diperbetulkan.

Tambah beliau, para pemimipin Sabah mempunyai tanggungjawab menyelesaikan secara muktamad perkara ini untuk generasi rakyat Sabah akan datang.

“Bayangkan jika hak Sabah menerima 40 peratus hasil perolehan bersih dihormati, kita mampu merancang dan membangunkan negeri ini tanpa perlu menunggu dan bergantung kepada ‘budibicara’ atau kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana pembangunan yang lebih banyak setiap tahun,” katanya.