Campur tangan SPRM dianggap mencabuli konsep pembahagian kuasa – Hassan

Oleh: Cyn J.

PETALING JAYA, 25 April – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melakukan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dianggap mencabuli konsep Pembahagian Kuasa antara badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

Menurut Ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM, Hassan Abdul Karim, tindakan SPRM itu boleh dianggap sebagai pelanggaran prinsip dan serangan ke atas kebebasan badan Kehakiman.

“SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab sama-sama mempertahankan kebebasan kehakiman Malaysia. Hakim-hakim mahkamah di Malaysia mesti dilindungi dari tindakan sewenang-wenang pihak Eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.

“Apa yang dilakukan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan Ghazali, bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahan kuasa antara badan Eksekutif dan juga Kehakiman, tetapi ia juga merupakan satu serangan agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

“Tidak dinafikan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, hakim-hakim yang sedang berkhidmat boleh dilucutkan jawatannya jika berlaku salah laku, termasuk kesalahan bersifat jenayah seperti rasuah.

“Tetapi ada kaedah yang khusus melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk oleh Kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kes Tribunal Bebas sebelum ini berkaitan pemecatan Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara merupakan satu contoh,” katanya.

Selain itu, SPRM perlu menyedari bahawa Hakim Mohd Nazlan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.

Tambahnya, SPRM tidak sepatutnya memperlakukan sesuka hati ke atas seorang hakim hanya kerana wujudnya laporan polis yang dilakukan ke atas hakim tersebut.

“Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah seseorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya.

“Sekiranya tindakan SPRM sekarang menyiasat hakim dengan sesuka hati berterusan, maka ini akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim untuk melaksanakan peranan dan tugas mereka di mahkamah.

“Perlu difahami telah wujud persepsi tindakan ke atas Hakim Mohd Nazlan ini ada kaitannya dengan keputusan beliau ke atas kes pertuduhan terhadap mantan Perdana Menteri Najib Razak dalam Kes SRC International, di mana Hakim Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda lebih RM210 juta terhadap Najib,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM juga perlu sedar bahawa terdapat usaha konsisten oleh pihak tertentu yang tindakannya boleh dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan badan kehakiman apabila terdapat cubaan mencemarkan integriti hakim yang membicarakan kes Najib dengan tujuan pembatalan kes SRC International dan mengadakan satu perbicaraan semula.

“Perlu diingat keputusan Hakim Mohd Nazlan dalam Kes SRC International mensabitkan kesalahan Najib telah disahkan oleh sebuah panel tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan.

“Kepada SPRM, saya menyeru supaya memandang kepada diri sendiri. Beberapa laporan polis secara rasmi telah dibuat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkait isu pembelian saham yang mencurigakan dan menimbulkan kemungkinan berlaku satu kesalahan di bawah Akta SPRM,” katanya.