Oleh: Cj
KOTA KINABALU, 10 Jun – Kerajaan BN – PN yang sibuk mencatur kuasa dinasihatkan agar lebih prihatin terhadap derita rakyat yang kini sedang menghadapi inflasi.
Menurut aktivis Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Danish Hairudin, politik semakin berkecamuk berikutan perebutan kuasa serta terdesaknya golongan kluster mahkamah untuk mengadakan pilihan raya umum segera telah menenggelamkan tumpuan bagi memperbaiki ekonomi harian rakyat.
Katanya, kerajaan seolah-olah tidak berminat untuk berusaha mengawal tekanan inflasi yang melampau ketika ini.
“Penurunan ringgit menjadikan kos sara hidup tinggi, yang berpunca dari kos import melambung.
“Penggunaan isi rumah terutamanya bahan makanan utama terlalu bergantung kepada barangan import.
“Hal ini akan menyebabkan kos sara hidup menjadi tertekan selepas berhadapan dengan pendapatan nominal isi rumah yang rendah.
“Harga barang akan naik lagi sekiranya ringgit kekal lemah terutamanya pada barangan yang diimport seperti beras. Ini secara langsung akan menyebabkan kos barangan serta kadar inflasi meningkat dan membebankan lagi rakyat,” ujarnya.
Menurut Danish lagi, daripada terus mencatur politik sebaiknya kerajaan BN – PN mengkaji lebih banyak pengeluaran bahan makanan dalam negara supaya tidak terlalu bergantung kepada import yang berjumlah RM50 bilion setahun.
Begitu juga barang keperluan harian rakyat yang mana bahan mentahnya banyak didapati dalam negara.
“Kerajaan harus meningkatkan pengeluaran barangan tempatan. Tetapi hari ini parti pemerintah BN dan PN sibuk bertelagah tentang tarikh untuk diadakan Pilihan Raya Umum. Mereka sibuk mencatur kuasa sedangkan mereka masih berkuasa mentadbir Kerajaan Persekutuan dan akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.
“Penguasa sepatutnya menyelesaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang melonjak dengan sangat pantas. Sebagai Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri daripada Umno yang dikatakan ‘hebat’ sepatunya tiada sebarang halangan untuk melakukan pelan jangka masa pendek menyelesaikan kemelut kehidupan rakyat,” katanya.
Selain itu, Danish turut membidas retorik politik UMNO yang sering melaungkan kestabilan demi rakyat kerana dilihat rakyat di bawah mengalami kesukaran hidup.
Beliau berkata, rakyat semakin tidak berpuas hati kerana sesetengah pemimpin hanya sibuk menjaga pemimpin tertinggi UMNO yang menghadapi masalah di mahkamah.
“Tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat adalah keutamaan pemimpin negara, bukannya menjaga kepentingan sesetengah individu yang sedang berdepan pertuduhan jenayah.
“Fokus utama seharusnya memulihkan negara daripada kesenjangan ekonomi. Perlu satu langkah inklusif dan libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk parti pemerintah dan pembangkang serta pakar ekonomi bagi mengelakkan negara terjerumus dalam masalah ekonomi yang lebih parah,” katanya lagi.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius