LABUAN: Lima penyelidik dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) membangunkan aplikasi sistem tempahan makanan di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan.
Mereka ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKAL, Dr. Anath Rau Krishnan; Pensyarah Kanan, Dr. Sharinah Puasa; serta Pensyarah Kanan, Dr. Suzillah Sidek, Muhammad Hafizi dan Zakiah Hassan.
Mereka dibantu lima guru dari SMK Labuan iaitu Penolong Kanan Tingkatan Enam, Saminan Sabtu, Nurul Nazihah Sia Abdullah, Mohd Zulkifli Ismail, Azlan Tumingan dan Muhammad Ghazali Samudin.
Dr. Anath berkata, sistem tersebut sudah siap dibina dan percubaan dalam kalangan ahli juga sudah dilaksanakan.
Beliau berkata ujian rintis sistem tersebut dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan bulan Julai ini yang melibatkan pihak sekolah, pengusaha kantin dan pelajar SMK Labuan.
Katanya, sistem yang dibina adalah berupa aplikasi yang boleh dimuat turun ke telefon bimbit untuk memudahkan penggunaan.
Dr. Anath percaya bahawa aplikasi ini akan memberi banyak faedah kepada ramai pihak terutama sekali pelajar.
“Ini juga akan mempromosikan ‘cashless’ di peringkat sekolah,”katanya.
Dr. Anath berkata demikian ketika membentangkan sistem aplikasi tempahan makanan kantin pada mesyuarat bersama pentadbir SMK Labuan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Permata, SMK Labuan, baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim.
Turut hadir Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Jamaliah Razal.
Tambah Dr Anath, mesyuarat tersebut membincangkan laporan kemajuan projek pembangunan sistem aplikasi tempahan makanan kantin.
Sementara itu, Mohd Nizam menyambut baik kerjasama ini dan akan memberikan sokongan sepenuhnya bagi pelaksanaan sistem tersebut.
Dr Sharinah dijangka akan memberikan latihan hands-on kepada pihak sekolah, pengusaha kantin dan pelajar dalam masa terdekat.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara