KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malysia (KPM) mengadakan peperiksaan hanya pada Isnin hingga Khamis tahun ini perlu diteruskan.
Beliau berkata, keputusan itu perlu diteruskan setiap tahun sehinggalah ia menjadi sebuah dasar dalam takwim persekolahan.
“Saya berterima kasih atas keputusan positif KPM untuk mengadakan peperiksaan SPM tahun ini hanya berlangsung pada Isnin hingga khamis, dan tidak ada lagi peperiksaan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Keputusaan ini perlu diteruskan setiap tahun sehinggalah ia menjadi sebuah dasar,” katanya.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin bahawa takwim persekolahan bagi 2023 dijadual bermula Mac tahun depan kekal, setelah mengambil kira pelbagai faktor.
“Melihat kepada faktor-faktor yang diketengahkan oleh Menteri Pendidikan, UPKO mahu KPM menetapkan peperiksaan hanya diadakan pada Isnin hingga Khamis sebagai dasar demi keutuhan falsafah pendidikan negara yang mengambil kepatuhan kepada Tuhan sebagai inti utama.
“Selain itu penyediaan jadual peperiksaan itu juga hendaklah memastikan agar prinsip nombor satu Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, serta Falsafah Pendidikan Negara iaitu Kepatuhan Kepada Tuhan terus menjadi sandaran dan panduan asas utama,” kata Madius.
Beliau berkata, ini kerana Jumaat adalah hari bagi penganut Islam menunaikan Solat Jumaat, manakala hari Sabtu adalah Sabbath-Day bagi rakyat yang beragama Seventh Day-Adventist (SDA) dan Gereja Yesus Benar (GYB), dimana mereka akan pergi menjalani ibadah di gereja.
“Ahad pula adalah hari bagi umat Kristian yang ada di Malaysia seperti penganut Roman Katolik, Anglican, Basel dan beberapa lagi dominasi yang lain ke gereja.
“Justeru itu, jika jadual peperiksaan SPM meliputi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, adalah jelas KPM melanggar kandungan yang pertama dan paling utama Prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, selain tidak menjiwai makna di sebalik Falsafah Pendidikan Negara seperti yang saya nyatakan tadi,” katanya.
Madius berkata, sebagai sebuah negara yang berpaksikan prinsip Rukun Negara sebagai tiang seri perlembagaan, perkara ini tidak seharusnya berlaku.
“Oleh itu, UPKO memohon KPM lebih sensitif dalam perkara ini dan tidak membebankan pelajar-pelajar dengan menjadualkan peperiksaan pada penghujung minggu.
“Amalan menghormati pelajar tidak kira apa jua agama seharusnya bermula dari sekolah. KPM perlu menjadi contoh dalam perkara ini, bukannya menyukarkan pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan,” katanya. – Nabalu News

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara