UMS – UIAM kupas pelaksanaan pendidikan inklusif dalam konteks pelajar OKU

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan sebuah wacana ilmu bagi mengupas  pelaksanaan pendidikan inklusif di universiti dalam konteks pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Dengan tajuk Pelaksanaan Pendidikan Inklusif: Realiti, Cabaran dan Hala Tuju, program yang berlangsung di Rumambai Galeri Azman Hashim (GAH) UMS pada Isnin telah menampilkan lima penceramah jemputan termasuk staf dan pelajar OKU UIAM.

Antaranya ialah Ketua Unit Perkhidmatan OKU UIAM, Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin, dan Penasihat Unit Perkhidmatan OKU UIAM Mejar Jeneral Dato Yusri Anwar.

Turut membuat perkongsian ialah Pegawai Keselamatan UMS, Inspektor Polis Bantuan (PB) Massalinri Mohd Tahir.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan OKU (PPOKU)  UMS, Dr. Zaiton Mohamad berkata,  program itu diharapkan dapat memberikan pendedahan awal tentang keperluan kebolehcapaian OKU dan infrastruktur di setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Dalam pelaksanaan pendidikan inklusif, hak golongan istimewa ini tidak boleh dinafikan dan perlu dititikberatkan.

“Sudah pasti ia menuntut satu cabaran besar dan memerlukan tenaga sumber manusia yang mencukupi bagi memastikan Dasar OKU negara dan Dasar Inklusif OKU di IPT 2018 dilaksana.

“Sesungguhnya, PPOKU UMS akan sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan pelajar dan kakitangan OKU di UMS sentiasa terjamin,” katanya ketika ditemui media.

Zaiton turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UIAM atas kerjasama dalam penganjuran program tersebut.

“Saya percaya ini merupakan permulaan kepada pelbagai kerjasama lain pada masa akan datang.

“Terima kasih juga kepada pihak pengurusan universiti yang sentiasa menyokong PPOKU dari dahulu sehingga kini terutamanya dalam memastikan kebajikan warga OKU di UMS sentiasa terjaga,” jelas Zaiton.

Turut hadir pada program tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Rasid Mail dan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Perhubungan Komuniti) UIAM Prof.Madya. Dr.Zulkilfi Hasan.