Keluarga sebak terima anugerah arwah anak

Oleh: Nur Asdah Jeferedin (Pelajar Komunikasi FSSK)

KOTA KINABALU: Suasana sebak dirasai apabila keluarga mewakili allahyarham Ahmad Faizal Tahir, graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) yang menerima ijazah secara anumerta sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24.

Ibu allahyarham, Norah Usaini menerima ijazah anumerta yang disampaikan oleh Tun Juhar Mahiruddin pada sidang pertama di Dewan Canselor, UMS.

Menurut Norah, Faizal merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik, berumur 28 tahun dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 31 Julai 2021 akibat daripada penyakit demam panas.

Menceritakan keadaan anaknya sebelum meninggal dunia, Faizal berada di rumah sewa ketika dia demam dan telah memberikan tanda-tanda sebelum pemergiannya dengan memberikan satu pesanan ditujukan kepada adik tunggalnya, Ahmad Fadil.

“Ärwah anak saya berpesan supaya menasihatkan adiknya untuk belajar berdikari dan memberikan keutamaan kepada keluarga dahulu sebelum orang lain.

“Arwah seorang anak yang penyayang, suka bergurau dengan adiknya, seorang yang senang diurus dan tidak suka menyusahkan keluarganya.

“Sebagai seorang ibu yang mengandungkannya selama 9 bulan, saya berasa sebak sehingga tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila mendapat tahu dia sudah tiada,” ujarnya yang menyatakan perasaan sedih ketika ditemu bual media.

Sementara itu Ahmad Fadil berkata abangnya bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang doktor tetapi datuk mereka berharap agar beliau menceburi bidang pendidikan dan berjaya masuk ke universiti.

“Äyat terakhir abang yang saya ingat sehingga hari ini adalah beliau ingin balik ke pangkuan keluarga kerana sudah lama tidak berjumpa dengan keluarga kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi tidak kesampaian,” katanya.

Untuk rekod, ijazah secara anumerta merupakan penganugerahan ijazah selepas kematian pelajar semasa berada dalam pengajian.

Penganugerahan ijazah ini dibuat atas sokongan dan kelulusan universiti berdasarkan bidang pengajian yang diikuti oleh pelajar.

Pada Majlis Konvokesyen kali ke-24 ini, seramai 4,298 graduan UMS menerima ijazah yang dilangsungkan dari 10-12 Disember 2022.