Debbie terkejut terima anugerah Tun Zaki

Oleh: Aivi Crystel Sibil

KOTA KINABALU: Debbie Quah Lye Theng, 25, graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah kelahiran Pulau Pinang berasa terkejut dan tidak menyangka akan menerima anugerah Tun Zaki (Tempatan).

Debbie menerima anugerah ini sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-24 yang diadakan di Dewan Canselor, UMS.

“Saya memang tidak menyangka akan mendapat anugerah Tun Zaki dan ini adalah anugerah bonus bagi saya yang sudah berjuang selama 5 tahun dalam kursus perubatan ini.

“Saya juga ingin mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pihak UMS kerana memberikan saya anugerah ini, dan kepada para pensyarah di fakulti saya kerana telah memberi tunjuk ajar, semangat serta menjadi inspirasi sepanjang pengajian saya di UMS,” ujarnya.

Menurut Debbie lagi, cabarannya sebagai pelajar perubatan berlaku ketika musim pandemik Covid-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)pada musim pandemik menjadi cabaran kepada saya kerana kursus perubatan memerlukan pelajar untuk berjumpa dengan pesakit untuk tujuan pemeriksaan dan kuliah pula dijalankan secara dalam talian menyebabkan sukar untuk berjumpa dengan pesakit,” katanya.

Namun, proses pembelajaran beliau berjalan dengan baik melalui kunci kejayaan yang sentiasa dipegang olehnya.

“Tidak mudah putus asa dan percaya diri menjadi kunci utama dalam pembelajaran, apapun cabaran yang dihadapi, haruslah yakin terhadap diri sendiri supaya dapat membuat keputusan yang baik,” katanya.

“We can’t make a change, but we can make a different” menjadi kata-kata semangat beliau yang dipegang sampai ke hari ini.

“Saya memang tidak mampu mengubah siapa diri saya, tetapi saya mampu melakukan perubahan dalam diri melalui usaha yang saya lakukan.

“Untuk semua junior, jangan berputus asa di mana pun anda berada, dan siapapun diri anda, sentiasa percaya diri sendiri untuk mencapai apa yang kamu inginkan,” katanya.