Penjara Malaysia seperti ‘neraka’, kata Roger Ng

NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc dan konspirator 1MDB yang disabitkan bersalah, Roger Ng berkata dalam pemfailan mahkamah, dia menghabiskan enam bulan di penjara Malaysia yang menjijikkan, di mana dia kadang-kadang dirantai bersama seramai 20 banduan lain.

Ng menceritakan pemenjaraannya sebelum ini dalam surat kepada Hakim Daerah Amerika Syarikat Margo Brodie, ketika memohon kelonggaran apabila dia dijatuhkan hukuman minggu depan atas peranannya dalam penyelewengan dana 1MDB.

Dalam suratnya pada Sabtu, Ng berkata, tempoh tahanannya di penjara Sungai Buloh di Malaysia sebelum diekstradisi ke AS pada Mei 2019 seolah-olah “neraka” dan sudah cukup sebagai hukuman atas jenayah yang dilakukannya.

Dia meminta Brodie tidak memberikan tempoh penjara tambahan di AS apabila hukuman dijatuhkan pada 9 Mac di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.

Ng, 51, adalah satu-satunya kakitangan Goldman yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB.

Di Sungai Buloh, Ng yang pernah menjadi pengarah urusan itu berkata, dia tinggal bersama tikus dan haiwan perosak lain, tidur di atas lantai simen, serta dijangkiti malaria dan leptospirosis, jangkitan kuman yang disebarkan menerusi air kencing tikus.

Apabila dibawa ke mahkamah, Ng berkata, dia digari dengan “rantai” bersama 20 banduan lain dan dimuatkan ke dalam trak yang sesak. Dia berada dalam kurungan seorang diri sehingga dua minggu pada satu-satu masa, kata Ng.

“Enam bulan di dalam penjara Malaysia membawa kesan buruk (kepada saya) dari segi mental dan fizikal,” tulis Ng.

“Sehingga hari ini, saya mendapati diri saya menjadi suka bersendirian apabila terus mengalami pengalaman kejam dan menekan ini.

“Tempoh yang dijalani tanpa cahaya matahari dan dalam keadaan terasing membuatkan saya jadi hilang akal dan takut.”

Ng disabitkan atas tiga tuduhan jenayah oleh juri persekutuan pada April, termasuk bersubahat untuk melanggar undang-undang anti-rasuah AS dan bersubahat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Tim Leissner, bekas ketua Ng di Goldman, mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kerajaan dalam perbicaraan. Leissner akan dijatuhkan hukuman pada September.

Goldman membayar lebih daripada USD2.3 bilion dalam perjanjian akuan itu, penalti terbesar dalam sejarah AS kerana melanggar Akta Amalan Rasuah Asing. – Bloomberg