Waris Sultan Sulu mungkin sasar GLC termasuk Malaysia Airlines, kata Azalina

KUALA LUMPUR: Kumpulan yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu terakhir mungkin menyasarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said

Azalina berkata, strategi kumpulan itu adalah menyasarkan aset komersial seperti Petronas, dan menambah, “mereka telah cuba segala-galanya” dan kini menyasarkan aset lain melibatkan Malaysia.

Katanya, Agensi Perkapalan Boustead dan Malaysia Airlines antara contoh syarikat yang mungkin menjadi sasaran seterusnya.

“Mereka merasakan boleh ‘mengganggu’ aset Malaysia. (Boustead Shipping dan Malaysia Airlines) hanyalah contoh. Mana-mana (syarikat) boleh menjadi sasaran. Kita perlu sangat-sangat peka tentang (perkara) ini,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa bailif mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan baharu terhadap dua unit Petronas, berikutan percubaan waris Sultan Sulu itu untuk menguatkuasakan anugerah USD15 bilion (RM66 bilion) yang mereka menangi terhadap Malaysia.

Anugerah itu diberikan oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lepas.

Azalina membuat komen itu semasa taklimat kepada Ahli Parlimen hari ini mengenai pertikaian itu.

Unit Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus pertama kali dirampas pada Julai 2022, tetapi kerajaan bulan lepas berkata, perintah itu telah diketepikan oleh mahkamah daerah Luxembourg.

Pada Selasa, bailif mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan kedua ke atas unit dan akaun bank yang berkaitan, menurut dokumen mahkamah yang dikongsi oleh peguam waris Sulu, Paul Cohen.

Azalina menyifatkan percubaan merampas aset itu sebagai “rompakan komersial”, dengan pihak yang menuntut menggunakan cara komersial untuk “merompak Malaysia”.

Pada Februari 2022, mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada keturunan sultan terakhir Sulu.

Penimbang tara, Gonzalo Stampa, memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir kawasan yang kini menjadi Sabah.

Proses timbang tara itu bermula di Sepanyol tetapi dipindahkan ke Paris.

Mengikut perjanjian pada 1878, sultan Sulu ketika itu menyerahkan kedaulatan sebahagian besar Sabah kepada maharaja Sabah ketika itu dan Alfred Dent daripada Syarikat Borneo Utara British, yang bersetuju bahawa mereka dan bakal pengganti akan membayar 5,000 dolar Mexico kepada sultan setiap tahun.

Pada 1936, sultan terakhir Sulu yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II, mangkat tanpa waris. Pembayaran dihentikan buat sementara waktu sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris yang dilantik oleh mahkamah pada 1939.

Walaupun Malaysia mengambil alih pembayaran apabila menjadi pengganti dalam perjanjian itu berikutan kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia pada 1963, bayaran ini – bersamaan dengan RM5,300 setahun – dihentikan pada 2013 selepas pencerobohan bersenjata Lahad Datu di pantai timur Sabah.

Azalina mendedahkan bahawa salah seorang daripada lapan individu yang menuntut adalah sepupu kepada salah seorang daripada lapan lelaki warga Filipina yang dijatuhi hukuman mati kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pencerobohan Lahad Datu. Mereka kini ditahan di penjara Taiping.

Katanya, “dalang terbesar” dalam pertikaian ini ialah pasukan yang menyokong pihak yang menuntut.

Oktober lepas, The Edge Markets melaporkan bahawa Therium, salah satu firma pembiayaan litigasi terbesar di dunia, telah membiayai pertikaian pihak waris Sulu dengan nilai USD10 juta.

“(Jika tidak), pihak menuntut tidak akan mempunyai wang, bermakna ada pihak yang menyokong mereka,” kata Azalina.

“(Ia dilakukan) pada masa itu kerana kerajaan bertukar. Apabila mereka lihat negara sedang goyah disebabkan pergolakan politik, mereka ambil tindakan. Mereka bukan bodoh.”