Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu

TUARAN: Hujan lebat yang turun sejak awal pagi tidak menghalang penduduk untuk menjayakan acara kemuncak sambutan Hari Malaysia anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tambalugu, di sini hari ini.

Bertempat di bangunan Frenzee Futsal, program yang berlangsung sejak kelmarin itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Program tersebut berjaya menghimpunkan penduduk kampung daripada pelbagai lapisan umur, termasuk kanak-kanak, remaja dan warga emas, yang hadir dengan semangat patriotisme yang tinggi.

 

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk perarakan sekitar Kampung Tambalugu, pertandingan busana kemerdekaan, mewarna, serta nyanyian lagu-lagu patriotik.

Sementara itu, Madius ketika berucap merasmikan program tersebut menekankan kepentingan menyemai semangat patriotik sejak usia muda.

Menurutnya, semua pihak perlu menghayati sejarah pembentukan Malaysia maka barulah semangat patriotik dan cintakan negara mampu disemai.

Presiden Kehormat UPKO itu turut memuji usaha KRT Tambalugu dalam menganjurkan program yang dapat mendekatkan penduduk kepada nilai-nilai kenegaraan.

Beliau berharap agar sambutan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyemarakkan lagi semangat Hari Malaysia serta mengekalkan perpaduan antara penduduk pelbagai kaum.

Hadir sama Pengerusi KRT Tambalugu, Noraini K. Hamzah dan Timbalan Pengerusi, Stanley Jungkat.