Majikan diberi notis pematuhan jika gagal bayar gaji minimum RM1,500

KOTA KINABALU: Kegagalan majikan membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerja diberi notis pematuhan dalam operasi bersepadu Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah Wan Zulkfli Wan Setapa berkata itu adalah antara 39 kesalahan yang dilakukan oleh pihak majikan yang dikesan sepanjang operasi selama tiga hari dilaksanakan sekitar sini.

“Antara kesalahan lain yang dilakukan adalah majikan gagal menyimpan daftar pekerja di dalam premis serta membuat potongan gaji tanpa permit yang diluluskan dan tiada lesen sah untuk menggaji pekerja bukan pemastautin.

“Majikan juga dikesan gagal atau lewat menjelaskan caruman berkanun dan faedah caruman lewat bayar (FCLB) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selain gagal memberi maklum balas dan mendaftar mengikut PSMB selain tidak mendaftar tempat kerja pada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Sebahagian majikan lain juga menerima notis pematuhan selepas tidak mendaftarkan jentera yang digunakan di permis di bawah JKKP dan gagal mewujudkan dasar serta jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja,” katanya menurut laporan Utusan Borneo di sini.

Beliau berkata kesemua 39 majikan terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk kompaun serta pendakwaan sekiranya gagal mematuhi notis yang dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya operasi bersepadu pertama kali di Sabah yang dijalankan bermula 6 Mac lalu berjaya memeriksa 60 majikan dari sektor perkhidmatan, pembinaan, pembuatan, perdagangan jual borong serta runcit, maklumat dan telekomunikasi.

“Operasi bertujuan memastikan undang-undang perburuhan dipatuhi serta mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja terpelihara.

“Kita menumpukan kepada majikan yang menggaji lebih daripada sepuluh pekerja bagi memastikan pematuhan Ordinan Buruh Sabah bagi Bab 67 serta Kaedah-Kaedah Buruh, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

“Operasi juga ditumpukan bagi memastikan majikan mematuhi Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001,” katanya.