KOTA KINABALU: Lebih 27 ribu pengguna di kawasan Luyang dan sekitarnya akan mendapat manfaat daripada peningkatan bekalan elektrik melalui Projek Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Luyang.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Datuk Phoong Jin Tze berkata, projek tersebut dilaksanakan untuk menampung peningkatan beban elektrik di kawasan berkenaan melalui inisiatif di bawah syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Projek ini bermula pada 13 November 2023 dan dijangka siap pada 12 Ogos 2025.
“Pembinaannya akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan peningkatan sektor perindustrian setempat, bukan hanya di kawasan Luyang dan sekitar tetapi juga untuk seluruh negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah PPU 33/11kV Luyang (Fasa 1), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foon Hing dan Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Sementara itu, Madius memaklumkan bahawa SESB akan terus berusaha untuk memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah.
Menurutnya, ia termasuklah menggunakan sumber kewangan SESB sendiri walaupun syarikat utiliti itu menghadapi cabaran kelestarian kewangan pada ketika ini.
“Isu berkaitan tenaga perlu dihadapi secara bersama dan bukan menjadi tanggungjawab sebuah pihak sahaja.
“Tiga komponen, iaitu SESB sebagai syarikat utiliti, Suruhanjaya Tenaga Sabah (EcoS) sebagai pengawal selia, dan komponen yang ketiga iaitu pembuat dasar, perlu bekerja secara bersinergi.

“Ini menjadi lebih penting selepas persidangan Dewan Undangan Negeri pada 3 Januari tahun depan, yang mana Akta Bekalan Elektrik dan Tenaga Boleh Diperbaharui akan digabungkan di bawah satu enakmen,” ujar Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
Untuk rekod, SESB juga telah melaksanakan projek yang sama di PPU Darau pada Oktober lalu.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts Mohd Yaakob Jaafar dan Timbalan Pengarah Unit Penyampaian dan Perancangan Projek Khas Sabah (SAPADU), Abang Abdul Rahman Yusuf.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ